rss

Sabtu, 13 Mac 2010

MESTI BACA!! PAKATAN RAKYAT LEBIH BIJAK URUS WANG RAKYAT

Prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat sepanjang 2 tahun
Harakahdaily

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberansangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir umno-barisan nasional.

Selangor

Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20,753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM2.752 bilion (40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.

Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010. Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.

Pulau Pinang


Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri (ketiga tertingi). Dasar CAT (daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan) menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan (surplus) sebanyak RM88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM35 juta (belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM97 ribu per sekolah, RM60 ribu kepada setiap sekolah Cina dan RM63 ribu kepada setiap sekolah Tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM11.3 juta.

Kedah

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan.
Sedangkan di bawah pentadbiran Umno-BN, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.

Kelantan



Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri.

Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan.

Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan.

Kehadiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.

JIRANKU SEORANG GRO...

(ditulis sebulan yang lepas.... br dapat posting hari ni...)

Hari ini, My Little Caliph.. Aina Safiyah, diserang batuk dan selsema pula… Tak putus ujian sakit Allah timpakan atas Aina… (hikmahnya, untuk menguji kesabaran dan keimanan Umi dan Ayah si kecil..) Sebelum ini, Aina dijangkiti virus… cirit birit, muntah-muntah.. hampir 5 hari. Badan Aina makin susut.. Berbeza sungguh masa Aina umur 7 bulan. (Punyalah ‘sihat’ badan Aina masa tu, sampai ada yang menggelar Aina ‘Baby Michelin’..:-)..) Minggu lepas je, 2 kali bawak Aina jumpa doktor. Sekali ke Klinik Kesihatan Jinjang, dan kali ke-2 ke Hospital KL. Ada satu malam tu, habis tilam penuh dengan najis Aina, gara-gara uminye tak bangun bila Aina kejut sebab dah terberak! 3 kali Aina berak cair malam tu.. Apa lagi.. pukul 2 pagi dah kena mandi dan bersihkan tilam!!

Itu kisah Aina.. Mudah-mudahan Allah berikan kesembuhan, kesihatan dan Aina membesar dengan sihat supaya dapat jadi anak yang solehah dan mujahidah sejati.. Ameen.. Ada kisah lain yang nak saya kongsi disini sebenarnya.. Sekembali dari klinik tengahari tadi, saya singgah jap di gerai ABC kakak ipar saya di depan rumah.. Kebetulan ada sebuah kereta lalu di situ.. Kakak ipar saya kata… Minah2 dalam keta tu.. Saya tanya balik.. Minah2 tu apa? Lalu, kakak ipar saya menyebut satu-satu nama yang saya kenal. Mereka tu tinggal tak jauh dari rumah kami. Kenapa dengan mereka? Rupa-rupanya, mereka ni bekerja di waktu malam dan balik rumah sekitar jam 4 pagi… Kerja GRO!! Di Kuala Lumpur ni, tidak menjadi sesuatu yang pelik sangat bila sebut bekerja sebagai GRO. Masyarakat dah tak ambil kisah sangat!! Lantak la nak jadi apa asalkan kau tak kacau keluarga aku. Minah2 yang jadi GRO tadi tu, rumahnya di depan surau je, malah 2 daripada mereka, seorang anak bekas imam (almarhum) dan seorang cucu bekas imam (almarhum).. dan kedua2 mereka adalah makcik dan anak saudara!! Orang kampong di sini bukannya tak tau, tapi mereka hanya pandai bercakap sesama mereka. Institusi surau yang diharapkan memainkan peranan membangunkan ummah di kampong ni, menjalankan amar makruf nahi mungkar.. langsung tak boleh pakai! Surau tidak imarah, tiada kuliah agama.. Kalau ada yang nak mengimarahkan, pasti disekat sebab berbeza pandangan politik…

Aduh…. Pening rasanya kepala ni… memikirkan masalah ummat yang makin hampir penghujung dunia, makin jauh dari yg Maha Esa… Perlukah mereka dibiarkan terus hanyut? Apalah daya kudratku nak membantu golongan seperti mereka… Selemah2 usaha, hanya doa yang mampu ku panjatkan moga mereka mendapat petunjuk dr Allah…. Selamatkanlah KAMI SEMUA dari AZABMU ya ALLAH…


SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA..

Rangka strategi, dasar bantu wanita bekerjaya
Nurul Izzah Anwar

Saban tahun, masyarakat antarabangsa meraikan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac. Pada tahun ini, tema yang digagaskan adalah Equal Rights, Equal Opportunities: Progress for All. Dalam laporan terbaru yang dikeluarkan, didapati kebanyakan negara masih mengamalkan dasar atau undang-undang yang mendiskriminasi wanita. Tidak hairanlah jika tema Hari Wanita Sedunia tahun ini meminta kita semua merefleksi sama ada wanita diberikan hak serta peluang yang sama rata sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya mahupun pembuatan keputusan.

Selaku ahli Parlimen, tugasan di kawasan mendedahkan saya kepada wanita-wanita yang saban hari menempuh pelbagai cabaran besar. Wanita yang bergelut dengan kerjaya demi menyara keluarga dan diri, sedangkan pada masa yang sama, turut menjadi seorang ibu mahupun isteri di rumah.

Di Lembah Pantai, saya mendapati kehidupan di tengah kota yang sarat dengan cabaran sementara taraf hidup yang meningkat turut menyebabkan wanita terpaksa bertungkus-lumus mencari nafkah bersama-sama suami mahupun bersendirian sehinggakan ada ketikanya, mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab membesarkan anak sepenuhnya.

Kes penderaan serta kehilangan anak di pusat jagaan pastinya menambah kegusaran para ibu yang bekerja tentang keselamatan serta kebajikan anak yang ditinggalkan di pusat-pusat sedemikian. Pada masa yang sama, kos menghantar anak ke pusat jagaan atau didikan awal yang menawarkan perkhidmatan atau kemahiran tambahan agak tinggi. Hal ini menyebabkan kaum wanita bukan sahaja berdepan dengan cabaran sedia ada di tempat kerja dan rumah, bahkan dalam membuat keputusan terbaik untuk anak mereka.

Oleh kerana itulah, perkhidmatan jagaan anak mahupun didikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan sesuai dengan kemampuan keluarga merupakan prasyarat penting kepada wanita yang bekerjaya. Keperluan ini lebih-lebih lagi meruncing apabila mengingatkan kepada penderaan yang meragut nyawa adik-adik Syafia dan Haresvarra baru-baru ini.

Penyediaan pusat jagaan atau pendidikan awal kanak-kanak merupakan prasyarat ke arah memaksimakan bakat dan kemahiran wanita yang menyumbang kepada sektor ekonomi negara. Pelan tindakan mungkin ada – hanya pelaksanaanya belum meluas sehingga ke akar umbi lagi.

Justeru, sempena Hari Wanita 2010, marilah kita, tidak kira wanita ataupun lelaki membantu mereleasasikan pelaksanaan langkah-langkah yang membantu para ibu yang bekerjaya. Kerana dedikasi serta semangat jati diri yang ditonjolkan bukan sahaja sebagai seorang ibu dan isteri, tetapi selaku pendukung aspirasi politik dan ekonomi negara.

Saya turut berasa bangga dan menyokong penuh usaha serta hasrat gerakan wanita di Malaysia yang tidak pernah gentar dan mengalah dalam memperjuangkan kesaksamaan gender dan hak wanita di Malaysia. Saya berharap agar kita dapat bekerjasama dalam merangka strategi ke arah mewujudkan dasar atau program yang dapat membantu wanita terutamanya ibu-ibu yang bekerja sama ada di kawasan saya mahupun seluruh negara.

Salam Hari Wanita!

Nurul Izzah Anwar,

Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Jumaat, 29 Januari 2010

ADUHAI RAKYAT MALAYSIA...

Buat pengunjung blog ini, saya ingin mengajak anda BUKA MINDA....
Ayuh kita lihat UMNO BN dari satu sudut pandang yang berbeza... Selama ini kita melihat UMNO BN daripada apa yg dilaporkan dalam MEDIA ARUS PERDANA (Utusan, Berita Harian, TV3, RTM dsbg..) Cuba baca yang ini pula...


6 NKRA: Apa yang anda rasa sekarang?

Sofi Wahab

Enam NKRA yang dicanang oleh kerajaan BN 1Malaysia iaitu ialah :-

* meluaskan akses pendidikan berkualiti ;
* Mengurangkan kadar jenayah;
* Memerangi rasuah;
* Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah;
* Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan
* Menambah baik pengangkutan awam.

Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti

Pada pandangan anda sejauh mana ianya telah berhasil. Adakah anda yakin pendidikan di negara kita benar-benar berkualiti sedangkan ranking IPTA negara kita semakin merudum di persada dunia. IPTA terus dilihat 'berkonfrontasi' dengan pelajar dalam pilihanraya kampus yang mana ia menggambarkan IPT seolah-olah sama taraf dengan sekolah menengah.

Sekolah-sekolah di pedalaman negara kita masih kurang prasarananya. Rakyat masih terpaksa membayar yuran dan pelbagai bayaran lain berjumlah ratusan ringgit pada setiap kali sekolah dibuka. Sekolah-sekolah dikelas-kelas mengikut kategori tertentu di mana terdapat sekolah-sekolah yang seolah-olah dianaktirikan terutama sekolah agama dan sekolah agama rakyat.

Mengurangkan kadar jenayah

Saya yakin semua rakyat sedang berhadapan dengan situasi trauma dan takut dengan kadar jenayah di negara kita. Beranikan anda membiarkan anak anda berjalan seorang diri untuk ke kedai yang letaknya 100 meter dari rumah anda terutama waktu malam.

Sudah berapa ramai kanak-kanak diculik, dirogol dan dibunuh di lokasi yang berdekatan dengan rumah mereka. Kejadian ragut, rogol, rompak, amuk, bunuh saban hari berlaku. Malah ada dibunuh secara kejam oleh keluarga sendiri.

Malangnya pasukan keselamatan sering digunakan untuk mengganggu program-program ceramah dan demontrasi aman rakyat dan pelajar sedangkan mereka mempunyai tugas hakiki yang lebih penting.

Berapa ramai pula pasuka cawangan khas yang ditugaskan semata-mata untuk tujuan memantau parti-parti politik bukan BN.?

Memerangi Rasuah

Sehingga kini rakyat masih melihat bahawa SPRM hanya serius dan pantas bertindak terhadap individu-individu dan pimpinan parti-parti PR berbanding dengan BN. Ada laporan yang dibuat bertahun-tahun terhadap pemimpin BN tetapi tiada tindakan.

Beberapa pemimpin Umno jelas dibuktikan terlibat dengan rasuah ketika pemilihan Umno seperti Ali Rustam, Amid Nordin, Isa Samad dan lain-lain tetapi SPRM tidak pernah menyiasat mereka ini.

Meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah

Kerajaan dilihat tidak jujur dalam mengklasifiksikan status rakyat. Purata garis kemiskinan sepatutnya dinaikkan kepada RM1500 pendapatan sebulan bukannya RM750.

Bayang apa yang rakyat boleh makan dengan pendapatan RM750. Terdapat juga kes-kes di mana rakyat miskin ini tidak mendapat bantuan sewajarnya hanya kerana mereka penyokong PR.
Diskriminasi terus berlaku dan jika ianya berterusan maka hasrat untuk membasmi kemiskinan tidak akan dicapai. Masih ramai rakyat miskin dinegara kita.

Memperkasa prasarana di luar bandar dan pendalaman

Masih banyak kampung dan desa terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak serta negeri lain-lain yang masih tidak mempunyai kemudahan air bersih dan elektrik 24 jam.

Selain itu rakyat di kawasan itu masih menggunakan jalan tanah merah atau pengangkutan air untuk perhubungan mereka. Di harap kerajaan dapat memperbaiki keadaan ini dalam masa terdekat.

Menambah baik pengangkutan awam

Cuba tuan-tuan naik bas awam. Tuan-puan akan tahu 'performance'nya. 'Servis'nya macamana, waktu perjalanan macamana dan lain-lain.

Rabu, 27 Januari 2010

Kuala Lumpur dan Makna Hidup..

Baru semalam berkesempatan mencari penerima Nisa' Small Kindness di kawasan kejiranan saya, setelah hampir seminggu diminta oleh Adinda Gee & Norsham dari Nisa'WP. (Nisa' Small Kindness merupakan salah satu usaha Nisa' membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dengan menyalurkan sedikit bantuan kewangan hasil daripada sumbangan orang perseorangan, swasta dan agensi kerajaan)

Menjadi surirumah sepenuh masa tidak bermaksud masa yang banyak di rumah dihabiskan untuk relaks dan bersantai.. Banyak tugasan di rumah yang perlu dibereskan dulu lebih-lebih lagi bila dah ada anak kecil. Bila dah berhempas pulas mengemas, membasuh, memasak dan sebagainya... kena tengok2 juga si kecil.. jadi bila ada masa lapang, selalunye mmg tk lapang... sesekali bole la menjengok facebook.. Masa untuk keluar rumah, selidik & membanci penduduk ni, memang susah nak dpt... Alhamdulillah, depan rumah saya ni ada kedai runcit dan gerai ABC yang selalu jadi 'port' kaum ibu disini.. Kesempatan yang ada semalam, sambil bawak aina main2 di taman, saya bertegur sapa dgn 'kakak-kakak' yang saya jumpa. Selidik serba sedikit latarbelakang keluarga mereka dan disahkan oleh beberapa jiran, maka akhirnya saya berjaya juga mendapatkan 2 penerima yang bakal dimajukan pada Nisa'WP.

Dalam ‘borak-borak’ saya dengan golongan surirumah disini, ada sesuatu yang membuatkan saya tersedar semula.. Dah lama tahu.. tapi kesibukan membuatkan aku lupe pada marhaen ini..)Majoriti mereka sebenarnya bukanlah ‘orang senang’. Walaupun lahiriah mereka nampak senang, tapi realitinya hidup di Kuala Lumpur ini penuh dengan cabaran.. Ada yang berpendapatan RM2000 ke bawah, tapi hidup di KL ni cukup ke RM2000 dengan anak 6 orang? Tolak sewa rumah, ansuran kereta, belanja dapur, bil api air, belanja sekolah anak-anak, dan sebagainya. Kalau ada baby, lampin anak, susu?? Sebenarnya ramai org KL ni dalam kategori ‘orang susah’ sebenarnya.. Kalau tak susah.. tak adalah isteri pun terpaksa bekerja, kalau tak susah.. tak adalah kaum ibu mengasuh anak orang, kalau tak susah.. tidaklah si isteri buat MLM, kalau tak susah..tidaklah ada yg buat part time..3 kerja 1 hari!kalau tak susah.. tidaklah mereka berniaga kecil-kecilan depan rumah!! Isk terlalu susah orang KL ni sebenarnya… Bayangkanlah… bila dah bekerja daripada pagi sampai ke malam…dimana masanya untuk mendidik anak?

Sedih… desakan hidup menyebabkan mereka jadi begini.. Tolak tepi lah factor ‘nafsu besar’ sebab tu kerja mati-matian. Memang ada yang boleh hidup dengan nafkah ala kadar. Seorang pakcik yang saya kenal, dengan gaji kecil (ditambah dengan kerja2 MLM zaman dulu..jual pinggan mangkuk) dapat menyara hidupnya sekeluarga berkat displin, menyimpan dan hidup ala kadar serta tidak suka membazir. Pakcik ni, sampai boleh beli rumah sendiri 2-3 bijik. Mungkin ada org sekarang yg boleh buat mcm pakcik ni, kalau displinnya tinggi. Tapi terlalu sedikit yang mungkin berjaya. Zaman millennium skrg ni dgn zaman 70an-80an dulu tak sama cabarannya. Dulu boleh berjimat sebab ada setinggan. Rumah free, api air kongsi. Nak bercucuk tanam, nak bela ayam itik pun boleh. Sekarang? Boleh? Saya termenung lama.. Merenung wajah-wajah ‘kakak-kakak’ yang ada dihadapan saya semalam.. Wajah mereka penuh pengharapan agar beban mereka dapat dikurangkan. Masing-masing inginkan masa depan yang terjamin untuk anak-anak mereka. Mereka ni dah usaha sehabis daya. Namun masih juga tidak cukup untuk berikan yang terbaik untuk keluarga mereka. Saya pula..?? Apalah dayaku untuk membantu…? Terlalu banyak yang saya angankan untuk masyarakat sekeliling.. jiran-jiran.. yang anak mereka akan membesar bersama anak saya.. Mudah-mudahan dengan ilmu dan kudrat yang ada pada diri ini, Allah berilah padaku kekuatan, kesempatan untuk terus berkhidmat pada masyarakat melalui jalan dakwah yang ku pilih..

Selasa, 5 Januari 2010

Rayuan Sumbangan...


Next... Outreach XPDC Dakwah Kita Bersaudara Grik Feb2010... Kami merayu setiap daripada anda menaja SATU KELUARGA masy orang asli di Pos Khemah, Tasik Banding Grik. Hanya RM30/keluarga. Hubungi 0192135353 untuk maklumat lanjut. Mudah2an sumbangan anda diberkati Allah. Ameen.

My Favourite...




Kerabu Kerang

Bahan-bahan A (Ditumbuk)

2 ulas bawang merah
3 batang cili merah
Sedikit belacan
3 sudu udang kering

Bahan - bahan B

Kerang (direbus dahulu)
2 sudu gula
Garam secukup rasa
1 batang serai dihiris halus
Sedikit air asam jawa
Kelapa parut (putih sahaja) (tumbuk sedikit)
Seikat daun Ceylon dipotong 1cm
6 batang kacang botol diracik
Taugeh

Cara memasak:

1. Tumbuk bahan A sehingga hampir lumat
2. Campurkan bahan A, gula, garam, air asam jawa, kerang dan serai.
3. Goreng tanpa minyak bahan yang telah dicampurkan sehingga sedikit kering.
4. Masukkan kelapa parut yang telah ditumbuk.
5. Kacau sehingga sebati.
6. Masukkan taugeh, goring sehingga taugeh sedikit lembut.
7. Masukkan kacang botol
8. Masukkan daun Ceylon.
9. Kacau sehingga sebati.

~Siap~ Selamat Mencuba