rss

Khamis, 29 April 2010

AL-FATIHAH....AMINULRASHID

Kes Aminulrashid : Cerita Dari YB Khalid Samad

Pada hari Isnin 26 April, jam 4 petang, saya telah menerima panggilan dari Ustadz Nasaruddin, Pemangku Ketua Pemuda PAS kawasan Shah Alam.

Dia memberitahu saya bahawa seorang remaja yang berumur 15 tahun telah ditembak mati oleh Polis di Seksyen 11 Shah Alam awal pagi tadi. Penduduk sedang berkumpul di Surau Seksyen 11 untuk menunggu jenazahnya dan semua menyuarakan ketidak puasan hati atas tindakan Polis.

Remaja berkenaan anak salah seorang ahli Qariah yang dikenali.

Mendengar berita tersebut saya pun telah bergegas ke Surau berkenaan dan mendapati sudah ramai berkumpul di situ. Saya melihat ramai di antara mereka terdiri daripada remaja belasan tahun.

Sebahagian dari mereka menunggu di luar kawasan Surau sambil sebahagian yang lain berada di dalam kawasan Surau tersebut. Setiba sahaja saya, qamat Salat Asar telahpun didengari dan Salat hendak dimulakan.

Saya mengambil wudu’ dan seterusnya menyertai jemaah. Setelah selesai salat, saya mendapatkan penjelasan dari Ustadz Nasaruddin mengenai apa yang telah berlaku. Beberapa orang turut mendengar dan memberi penjelasan termasuk seorang penduduk yang telah menyaksikan sendiri peristiwa berkenaan kerana kereta yang dipandu arwah terbabas di hadapan rumah beliau.

Mengikut keterangan mereka, pada jam lebih kurang 1.30 pagi, beberapa das tembakan telah kedengaran di jalan 11/2. Apabila disiasat, didapati sebuah kenderaan sedang dikejar kenderaan polis. Akhirnya kenderaan yang dikejar terbabas dan melanggar tembuk rumah dan pemandunya, Aminulrasyid Amzah, mati terkena tembakan di kepalanya. Seorang penumpang telah keluar dan berjaya melarikan diri.

Saya kemudianya membuat panggilan telefon kepada Dato’ Khalid, Ketua Polis Negeri dan meminta penjelasan dari beliau. Dato’ Khalid menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan dan anggota polis yang terbabit telah dipindahkan ke kerja-kerja pejabat. Menurut beliau, siasatan dibuat oleh polis Negeri, bukan oleh polis Shah Alam, bagi menjamin ketelusan. Begitu juga tegas beliau, bahawa siasatan dibuat di bawah Kanun Keseksaan 302, iaitu tuduhan membunuh sebagai bukti seriusnya pihak polis ke atas kes ini.

Dalam keadaan asyik mendengar penjelasan tambahan dari mereka yang berada di Surau, tiba-tiba beberapa orang membawa seorang remaja ke hadapan saya sambil berkata kepada saya, “dia lah penumpang yang bersama arwah yang telah melepaskan diri”. Orang semakin ramai berkumpul dikeliling saya dan memandangkan keadaan semakin bercelaru, saya menasihati remaja tersebut untuk ke tempat lain dahulu dan ‘stay low profile’.

Saya mengambil nombor telefon bimbitnya dan berjanji akan memanggilnya kemudian untuk bertemu dalam suasana dan keadaan yang lebih tenteram untuk mendapatkan penjelasan berhubung peristiwa berkenaan daripada beliau. Saya berpesan supaya dia berhati-hati supaya tidak ditahan polis kerana dikhuatiri penjelasan beliau akan dipengaruhi pihak polis untuk sealiran dengan kenyataan yang telah dikeluarkan mereka.

Kenyataan yang dikeluarkan polis melalui TV dan radio, saya diberitahu, berbunyi “seorang yang disyaki penyamun ditembak polis awal pagi di Seksyen 11 Shah Alam….sebilah parang dijumpai di dalam kereta disyaki digunakan sebagai senjata untuk menyamun….suspek kedua berjaya melepaskan diri..”

Selepas Maghrib saya berhubung dengan remaja berkenaan dan kami bertemu bersama beberapa orang sahabat sebagai saksi. Remaja tersebut memberitahu bagaimana arwah telah mengambil kereta kakaknya pada lewat malam sambil semua sedang tidur dan menjemput beliau. Mereka telah ke sebuah kedai di Seksyen 11 dan seterusnya ke Seksyen 7 setelah mendapat panggilan dari seorang rakan lain yang mengalami kerosakan motorsikal di situ.

Dalam perjalanan ke tempat kerosakan tersebut, berhampiran restoran Ali’s corner, mereka tergesel dengan sebuah kereta mewah yang sedang parkir di situ. Kemalangan ini menyebabkan arwah ketakutan dan beliau terus membawa kereta untuk melarikan diri. Pada masa yang sama mereka dapati ada motorsikal yang mengejar mereka. Apabila sampai di Seksyen 12, di jalan dari bulatan Istana Kayangan menuju SIRIM, motorsikal berkenaan terlanggar kereta yang dipandu arwah di bahagian belakang dan terus terbabas.

Arwah terus membawa keretanya dengan laju dan pada ketika itu mereka telah memintas sebuah kereta peronda polis. Kereta peronda tersebut terus membunyikan sirennya dan mengejar mereka, melalui SIRIM terus ke bulatan dan menuju ke Masjid Negeri, sampai ke Seksyen 9 dan kembali ke bulatan Istana Kayangan.

Dari bulatan Istana Kayangan mereka berpatah semula ke Seksyen 11 memasuki simpang berhampiran Caltex, Esso dan terus memasuki jalan 11/2. Tiba-tiba kedengaran tembakan beberapa das. Kereta terhoyang hayang disyaki tayar telah terkena tembakan. Arwah terus memandu dalam keadaan tayar ditembak sehingga tiba-tiba beliau rebah ke atas ribanya. Kereta terus menyimpang ke kiri dan terbatas melanggar tembok sebuah rumah.

Apabila di pegang kepala arwah, didapati berlumuran darah. Terasa kepala berlubang dan darah membasahi tangan dan bajunya. Remaja ini terus keluar dari kereta, terpaksa keluar dari pintu sebelah arwah, kerana pintu sebelah dirinya telah terhimpit. Terpaksa mengalih mayat arwah supaya dapat melepasi diri dengan tujuan menyerah diri. Tak sempat apa-apa, sebaik sahaja keluar beliau diterajang seorang anggota polis dan beliau terus melarikan diri.

Sambil mendengar penjelasan beliau, tiba-tiba abangnya muncul entah dari mana. Memarahi beliau kerana tidak pulang ke rumah. Apa dah jadi ini, kata abangnya, bagaimana adik saya digelar penjenayah. Kami menenangkan abangnya sambil memberitahu niat kami adalah untuk menolong adiknya. Dia terus meminta adiknya pulang ke rumah, ayah menunggu katanya. Kami ikut sekali. Setibanya di rumah mereka, ayah dan ibunya kebinggungan. Kami menenangkan mereka dan memberitahu mereka anak mereka bukan penyamun.

Seterusnya saya membawanya bersama abangnya untuk membuat laporan polis. Jam sudah hampir pukul 10 malam. Saya ingin menentukan bahawa laporannya sama seperti ceritanya kepada saya sebelum ini. Tiada paksaan untuk mengubah ceritanya. Selepas laporan disiapkan saya bersamanya dan abangnya bertemu pegawai yang bertugas.

Saya bertanya apakah SOP untuk pihak polis menggunakan senjata api menembak orang yang disyaki. Dia menjawab, hanya sekiranya nyawanya atau nyawa orang lain terancam.

Remaja saksi utama dibenarkan pulang ke rumah. Saya telah berhubung dengan YB Gobind Deo terlebih awal dan meminta dia mengambil kes ini. Dia berjanji akan berjumpa remaja berkenaan pada esok harinya, iaitu Selasa jam 10.30 pagi di mahkamah Shah Alam.

Selepas itu saya ke rumah arwah untuk bertemu keluarganya. Ibunya kesedihan. Abangnya kebinggungan. Bagaimana ini semua boleh berlaku. Mendengar percakapan ibunya berhubung arwah yang merupakan anak bongsunya, saya merasa sebak. Saya tak boleh bayangkan kesedihannya. Semakin ramai datang berkumpul. Saya berundur pada jam 12 tengah malam.

Esok pagi jam 9.30 pagi saya mengadakan sidang akhbar di pejabat saya. Dalam sidang akhbar tersebut saya menyatakan 3 perkara seperti berikut :-

1. Arwah bukan penyamun dan penjenayah. Warga Seksyen 11 mengenali beliau dan tidak akan menerima alasan sedemikian rupa dari mana pihak sekalipun.

2. Arwah tidak cuba melanggar anggota polis seperti yang didakwa. Arwah telah ditembak semasa memandu melarikan diri dan bukan semasa mengundur kereta untuk melanggar anggota polis. Itu satu pembohongan sepertimana juga kisah kononnya ada sebilah parang di dalam kereta.

3. Saksi yang merupakan rakan sepanjang peristiwa malang tersebut perlu diberi perlindungan dan tidak ada usaha dilakukan supaya ceritanya diubah untuk bersesuaian dengan kisah yang dilaporkan pihak polis. Saya meminta Polis bertindak secara profesional dalam kes ini dan jangan berusaha untuk melindungi anggotanya.

Shah Alam menjadi medan berlakunya pembunuhan Teoh Beng Hock sebelum ini. Malaysia juga menyaksikan sebelum ini kes Kugan yang telah mati di dalam tahanan. Norizan Salleh yang ditembak secara rambang sebanyak 5 kali tetapi masih hidup untuk menceritakan pengalaman ngerinya.

Harap jangan dilupa juga kisah Altantuya bersama bom C4. Ini semua kes-kes yang tergantung yang menjadi tanda tanya masyarakat. Entah banyak mana lagi kes yang tergantung sebegini yang tidak diketahui umum.

Apa yang pasti, kita tidak boleh membenarkan kes Aminulrasyid berkesudahan sebegitu rupa. Kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh yang beroleh rahmat.


Wallahu 'Alam
KHALID SAMAD
http://www.khalidsamad.com/2010/04/keadilan-untuk-aminulrasyid.html

Rabu, 28 April 2010

Bila DIAM itu ALLAH lebih Redha..

Kebelakangan ni, hidup ini sering dihimpit dengan masalah komunikasi yang saya sendiri tak tau adakah akan ada pengakhirannya. Bila situasi yg merimaskan itu hadir, rasa nak meletup dada ni...rasa nak menjerit..rasa nak protes... Semua rasa ini akhirnya terpaksa dipendamkan, dikuburkan, di lempar jauh2 bila saya mula sedar ianya tak akan membawa apa2 faedah.
Dah lama benar tak bukak blog SaifulIslam.... Dulu, kalau ada masalah, bila bukak blog tu, kdg2 Allah takdirkan, artikel/tulisan Ust Hasrizal sangat 'kena' dengan masalah yg saya lalui pd ketika tu. Lalu, bila jiwa memberontak, artikel Ustaz yang isinya berpandukan Al-Quran & Sunnah..disesuaikan dengan pengalaman beliau sendiri, membuatkan hati ini kembali rasional. Saya mula memujuk hati supaya bersabar menghadapi segala ujian yg datang.

Terbaru, saya sgt tertarik dengan Artikel Ustaz bertajuk Diam Dengan Nama Allah... Apabila masalah "Arguing With Idiots" mula hadir dan menyesakkan nafas ini... saya akan ingat balik artikel Diam Dengan Nama Allah.... yang mana petikan hadis ini dapat meredakan jiwa yg mula memberontak...

Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr ’sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.

Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ.” [ Hadith riwayat Abu Dawud]

Di akhir tulisan, Ustaz menukilkan satu kata-kata yg dengan izin Allah, memberikan kekuatan pd diri saya bila menghadapi masalah "Arguing With Idiots" ni...
DIAM BUKAN MENGALAH, IA MENCARI RAHMAH, MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH.
Mudah-mudahan perkongsian ini dapat membantu sesiapa yg meembacanya.... Wallahua'lam...

Nota: Artikel Diam Dengan Nama Allah penuh sila baca di http://saifulislam.com/?p=7935


Rabu, 14 April 2010

Sheila dan Kebaya
Nurainon

Ramai juga insan yang dikelilingi kemewahan hidup namun hatinya bagaikan gersangnya dipadang pasir. Kosong, hambar, tawar, panas dan pelbagai lagi keresahan yang mencengkam jiwa. Wang berjuta, pakaian mewah jutaan ringgit,, kereta mewah berderet, isteri-isteri yang jelita, anak-anak yang ramai dan pelbagai lagi tidak menjamin dapat rasa bahagia dan tenang. Justeru apakah nilai sebenar yang mampu menyejukkan hati dan menyamankan jiwa?

Nilai yang dapat mengisi jiwa manusia hakikatnya tidak terpahat pada kilauan berlian, kerlipan emas, kejelitaan wajah dan lain-lain. Oleh itu dimanakah kita dapat mencarinya? Apakah nilai yang membahagiakan itu sebenarnya tidak wujud atau ia sengaja disembunyikan kerana takutkan sesuatu?

Lantaran itu jangan lah kita tertipu ibarat seorang yang sedang kehausan dipadang pasir dengan kilauan Fatarmorgana yang disangkakan air.

Fatamorgana itu dihidangkan kepada rakyat dengan semakin hebat oleh media massa hari ini. Semakin mendekati kiamat, semakin galak media massa cetak, elektronik dan maya menonjolkan fatamorgana untuk menghilangkan ‘dahaga’ ruh masyarakat. Nilai yang hakiki disembunyikan atau sekadar dijadikan kosmetik buat mengelabui mata rakyat.

Fatamorgana terbaru disiarkan oleh Utusan Malaysia mengenai kebaya bertatah berlian dan permata yang bakal masuk senarai Guinness World of Records. Ia diperagakan oleh penyanyi Datuk Sheila Majid.

Dalam laporan tersebut, Datuk Sheila Majid menyatakan perasaannya, "Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini apabila memikirkan kebaya yang bernilai berjuta-juta ringgit disarungkan ke tubuh saya".

Sepatutnya kenyataan tersebut mengungkapkan, “Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini kerana terpaksa memakai pakaian mendedahkan aurat. Meskipun ia mahal namun aurat saya jauh lebih berharga dari nilai baju jutaan ringgit itu. Aurat saya adalah rahsia serta maruah saya sebagai wanita muslim. Sekali-kali saya tidak akan tukarkannya dengan sedikit nilai duniawi yang tidak mendapat tempat di sisi Allah”.

Ungkapan itu jika diluahkan dari hati berjiwa hamba kepada Allah akan memberi nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang berjuta sekalipun. Inilah hati yang mewah dengan iman. Inilah jiwa taqwa yang bernilai ekslusif di sisi Allah swt. Sepatutnya kenyataan seperti ini lah yang diucapkan apabila beliau menghubung kaitkan dengan nama Allah..

Apalah sangat kebaya jutaan ringgit jika disebalik kilauan permata dan berlian itu hanya terdapat murka Allah. Kemurkaan itu bukan setakat fesyen pakaian yang mendedahkan aurat bahkan juga pada pembaziran yang dibuat semata-mata untuk sepasang baju!. Baju itu tetap juga namanya kebaya.,apa guna jika nyawa terancam. Kalau rasa nyawa tak terancam kenapa harus ada polis mengawalnya..ini bermakna nyawanya senilai harga kebaya itu sahaja ..

Jika ditanya siapa yang mahu bertemankan syaitan... saya percaya ramai yang tidak sanggup. Tapi siapa yang mahu berdekat dan berbaik dengan Allah... pasti ramai yang mahu. Namun sekadar berteori di lidah tidak bertulang, tiada maknanya. Sedangkan perbuatan kita menurut apa yang syaitan suka.

Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir sebagai adik-beradik syaitan. Wah... hebat... bukan setakat bersahabat, bahkan sudah ada ikatan silaturrahim secara rasmi sebagai adik - beradik.



Allah berkata dalam surah al-Isra’, ayat 26 dan 27,


Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing serta janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

Alangkah baiknya jika nilai jutaan ringgit itu dibelanjakan buat golongan fakir dan miskin yang masih ramai tidak memiliki kediaman.

Malaysia Boleh!

Semata-mata untuk menunjukkan Malaysia serba boleh, bukanlah dengan membelakangi tuntutan al-Quran dan as-sunnah. Nilai apa yang ada pada Guinnes World of Records itu? Rekod tersebut dicipta oleh siapa dan apa tujuannya yang sebenar? Memburu yang tertinggi, terbesar, terbanyak, terpanjang dan segala macam ‘ter’ lagi di dunia ini sinonim dengan mencari ketinggian di mata manusia. Sedangkan ganjaran syurga di akhirat itu disediakan untuk mereka yang tidak mencari kedudukan yang tinggi di dunia. Sebaliknya berusaha menjadi hamba yang sentiasa merendah diri kepada Allah. Hamba yang merendah diri kepada Tuhannya ialah yang mentaati perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Masih terdapat ruang untuk menjadi ‘ter’ di dunia ini iaitu mematuhi dan melaksanakan undang-undang Allah sepenuhnya di bumi Malaysia yang bertuah.ini. Dalam konteks dunia hiburan, laksanakan hiburan cara Islam. Islam bererti selamat dan aman. Jika cara lain yang kita cari dan usahakan, maka tunggulah hasil kerosakan yang disebarkan di dunia fana ini memberi natijah buruk di akhirat kelak.

Allah berkata di dalam surah Al-Qasas, ayat 83,

Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

Justeru itu fikir-fikirkan... kemewahan di dunia yang kita mahu atau kemewahan syurga di akhirat yang kita harapkan?